Cara Buat Gulai Kambing Likat Beraroma, Sedap Berempah Melekat Di Jari!
Resipi gulai kambing ini memang satu hidangan yang susah untuk dilupakan. Bayangkan rasa lemak santan yang pekat bercampur dengan rempah-rempah yang telah ditumis lama sehingga pecah minyak menjadi wangi, berempah, dan cukup rasa.
Selain itu, ada sedikit rasa manis dari gula melaka, diimbangi dengan pedas-pedas lembut dari cili dan lada hitam. Kombinasi daun kari, halia, dan serai menambahkan satu lagi lapisan aroma yang sangat menyelerakan!
Boleh kata, rasa gulai kambing ni padu dan ‘kaw’ yang buatkan kita nak makan lagi dan lagi. Kalau ada cicah dengan roti atau nasi panas, memang ngam habis! Jom baca resipi lengkap perkongsian di bawah ini.
RESIPI GULAI KAMBING
Bahan-Bahan
- Daging kambing – 500 gram, dipotong saiz sederhana
- Halba campur – 1 sudu kecil (boleh didapati di kedai rempah ratus)
- Daun kari – 1 tangkai
Bahan-Bahan Kisar
- Bawang merah – 1 ½ biji saiz sederhana (saiz bola ping pong)
- Bawang putih – 1 ulas kecil
- Serai – 1 hiris nipis bulat
- Halia – 1 hiris nipis
- Lengkuas – ½ hiris nipis
Bahan Rempah Kari
- Rempah kari – 3 sudu besar
- Serbuk cili Baba’s – 1 sudu kecil
Bahan Perasa
- Gula melaka – ½ relung atau ½ sudu besar
- Garam – ½ sudu kecil
- Gula – ½ sudu kecil
- Serbuk perasa – secubit dua (jika suka)
Bahan Lain
- Santan pekat – 1 senduk
- Air – segelas air untuk menumis, tambahan satu cawan lagi semasa mengempukkan daging
Cara-Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, kemudian tumiskan 1 sudu kecil halba campur hingga naik bau. Masukkan juga daun kari untuk memberikan aroma khas dalam gulai.
2. Masukkan bahan kisar (bawang merah, bawang putih, serai, halia, dan lengkuas) ke dalam periuk. Tumis sehingga bahan kisar naik bau dan sedikit garing.
3. Masukkan 3 sudu besar rempah kari bersama 1 sudu kecil serbuk cili Baba’s. Tumis sehingga rempah betul-betul garing dan pecah minyak. Ini memastikan rempah masak sempurna dan kuahnya lebih pekat serta berperisa.
4. Tuangkan segelas air ke dalam periuk dan masukkan bahan perasa seperti berikut: ½ relung gula melaka, ½ sudu kecil garam, ½ sudu kecil gula, dan secubit serbuk perasa jika suka.
5. Kecilkan api dan biarkan bahan tumis pecah minyak dalam 5-8 minit. Kacau sesekali untuk mengelakkan rempah hangus.
6. Masukkan potongan daging kambing ke dalam kuah tumisan. Biarkan daging masak dalam api perlahan sehingga empuk, kira-kira satu jam.
7. Setelah daging empuk, masukkan 1 senduk santan pekat dan satu cawan air lagi. Kacau sehingga sebati.
8. Tambah lagi sedikit garam dan gula mengikut selera anda. Biarkan kuah gulai mendidih perlahan dalam 6-8 minit. Kacau sesekali untuk memastikan kuahnya masak rata.
9. Padankan gulai kari kambing ini dengan ayam goreng panas dan nasi putih untuk hidangan yang lengkap.
Selamat mencuba!
Sumber: Afy AL Habibi
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Arus Perdana
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut: