Connect with us

Tips Dan Petua

Jangan Panik, Tayar Tiba-Tiba Pecah Ketika Memandu. Ini Tip Patut Buat Untuk Kurangkan Risiko Kemalangan

Published

on

Jangan Panik, Tayar Tiba-Tiba Pecah Ketika Memandu. Ini Tip Patut Buat Untuk Kurangkan Risiko Kemalangan

Tayar tiba-tiba pecah ketika memandu bukan sesuatu yang asing bagi pemandu kereta. BANYAK perkara boleh berlaku tanpa dijangka ketika memandu. Antara paling menakutkan ialah situasi tayar pecah ketika memandu, terutama apabila sedang memecut.

Masalahnya sekarang, kita tidak tahu bagaimana mahu mengawal kereta yang meliar ke kiri dan ke kanan. Yelah malang memang tidak berbau dan memberi isyarat. Bukan meminta, tapi itulah risiko yang harus kita faham dan cuba membuat persedian dari awal.

Kali ini kami ingin kongsikan 7 perkara yang anda perlu buat apabila tayar kereta yang sedang anda pandu pecah secara tiba-tiba.

Tip Patut Buat Untuk Kurangkan Risiko Kemalangan

1. Jangan terus menghentam pedal brek.

Kebanyakan orang akan cenderung untuk menekan brek sepenuhnya (brek kecemasan) dalam keadaan kecemasan. Brek kecemasan adalah perkara yang paling teruk anda boleh lakukan dalam kejadian tayar pecah kerana ini akan menggangu arah kenderaan dan menjadikannya berada di luar kawalan. Anda boleh menggunakan ‘brek enjin’ dengan menurunkan gear kepada yang lebih rendah. Tekan brek kaki secara ringan apabila kenderaan anda telah perlahan.

2. Boleh menekan pedal brek, tetapi tidak secara agrasif & mengejut

Ingat tips pertama, KAWAL DIRI. Anda harus mengawal diri anda daripada menekan pedal brek secara mengejut. Dengan keadaan tayar kereta yang sudah terkunci dan kereta yang sedang terhuyung-hayang, anda masih boleh membrek, namun ada kaedahnya. Ingat, anda harus membrek dengan kaedah seolah-olah anda sedang mengepam, tekan dan lepas. Begitu juga dengan brek kereta, tekan dan lepas hingga kereta anda semakin perlahan dan berada dalam kelajuan yang mampu dikawal.

Kenapa tidak boleh brek secara mengejut? Anda harus ingat, nisbah brek antara roda hadapan dengan belakang adalah tidak sama, malah anda mungkin tidak tahu tayar mana yang sedang pecah. Tindakan brek secara mengejut boleh menambah risiko untuk kereta anda berpusing lebih teruk dan merosakkan sistem brek kereta anda.

Tips ini mungkin boleh diabaikan bagi pemilik kenderaan yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), namun TIDAK bagi mereka yang sebaliknya. Membrek secara mengejut ibarat menendang bola sekuat hati, cuba anda tahan bola tersebut secara mengejut. Pasti ada kesan pada bola dan anda yang menahan. Bayangkan jika bola itu adalah kereta anda yang ditahan secara mengejut, dan impak kepada anda yang berada di dalam kereta.

3. Membetulkan stereng kereta dengan lembut

Semua pemandu pasti tahu bahawa roda stereng adalah kompenen utama dalam kenderaan yang mengawal arah pergerakan tayar. Logiknya, tayar kereta akan patuh dengan input yang anda berikan kepada stereng ketika memandu. Jadi, memang normal jika kita cuba mengawal kereta yang sedang terhuyung hayang dengan memulas stereng, namun apa yang anda perlu tahu, dalam situasi tayar pecah, logik itu telah BERUBAH.

Ketika anda mahu membelok ke kiri, kereta mungkin akan ke kanan dan sebaliknya atau anda hanya memulas stereng sedikit, tetapi kereta membelok secara berlebihan. Situasi ini terjadi jika kita mengambil contoh tayar depan sebelah kanan kereta yang pecah, kenderaan akan cenderung untuk ke kanan walaupun stereng tidak dipulas ke kanan kerena nisbah berat sudah tidak seimbang dan berat kenderaan akan tertumpu pada roda yang pecah itu.

Jadi, cuba pulas stereng kereta anda secara berlawanan dengan arah kenderaan anda sedang bergerak. Secara lembut dan jangan pulas habis.

4. Rendahkan gear dan guna brek enjin

Pernah main game Need For Speed, tak kira lah siri yang mana pun? Jika anda perasan di dalam permainan tersebut, ketika anda memecut dan berada dalam gear tinggi, anda sampai di kawasan selekoh tajam dan cuba membelok secara mengejut tanpa merendahkan gear, sekadar menekan brek untuk memperlahankan kenderaan. Kenderaan anda pasti akan terbalik dan berpusng-pusing.

Begitu jugalah dengan situasi sebenar di jalan raya. Jadi, jika anda menggunakan kereta gear auto, anda harus menukar gear anda dari D4 kepada D3 dan D2. Jika anda menggunakan gear manual, tukar kepad gear rendah tanpa menekan kluc, YA TANPA MENEKAN KLUC. Kaedah ini dipanggil sebagai Kaedah Pembrekkan Enjin, ia efektif dan selamat untuk memperlahan kenderaan anda.

5. Kekalkan kenderaan dalam laluan

Anda perlu memastikan kenderaan anda berada dalam laluan yang sepatutnya. Ini amat penting bagi mengelak kemalangan yang lebih serius misalnya terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan lain. Paling utama, jangan sesekali cuba memberhentikan kenderaan anda dengan cara merapatkan kenderaan ke pembahagi jalan dan melanggar tembok atau pokok dengan sengaja. Bayangkan jika anda dalam kelajuan tinggi, tindakan tersebut hanyalah menjemput maut.

Jika anda berjaya melakukan tindakan di atas, kebiasaannya kenderaan anda sudah pun berada di dalam kawalan. Seterusnya anda hendaklah mencari kawasan lapang untuk berhenti dan menukar tayar.

6. Nyalakan lampu kecemasan (HAZARD LIGHT)

Bukan ketika anda masih dalam situasi cemas ketika kenderaan terhuyung-hayang, tetapi ketika kereta anda sudah pun berhenti di tepi jalan. Anda tidak perlu menjadikan situsi lebih sukar dan menarik perhatian pemandu lain dengan lampu amaran walaupun situasi tersebut belaku di atas jalan raya.

7. Berhati-hati ketika di lorong kecemasan

Jika anda tiada pilihan untuk berhenti melainkan di lorong kecemasan, anda wajib memasang lampu kecemasan, menggunakan lampu kelip atau memakai baju pemantul cahaya, bagi memudahkan kenderaan lain melihat kereta dan diri anda. Jika ada segi tiga reflektif, letakkan di belakang kereta pada jarak 45 meter dari kenderaan. 45 METER, BUKAN JARAK 2 3 LANGKAH. Itu sangat membahayakan.

Jika anda sendiri yang menukar tayar, pastikan anda boleh dilihat oleh pemandu lain. Jika boleh, hubungi Peronda Jalan Raya seperti Peronda PLUS untuk mendapatkan bantuan yang lebih sempurna, terutama bagi mereka yang tidak tahu prosedur menukar tayar.

Semoga bermanfaat!

Sumber : Pandu Laju

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Arus Perdana

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tips Dan Petua

Tip Tanam Pak Choy Di Rumah, Teknik Potong Betul Boleh Tuai Hingga 6 Kali

Published

on

Tip Tanam Pak Choy Di Rumah, Teknik Potong Betul Boleh Tuai Hingga 6 Kali

Bagi penggemar aktiviti berkebun di rumah, pak choy merupakan antara sayuran yang menarik untuk ditanam sendiri. Selain sawi, bayam, kangkung dan pelbagai jenis herba, sayuran ini juga sesuai dijadikan tanaman untuk memenuhi keperluan dapur harian.

Salah satu kelebihan menanam pak choy ialah tempoh pertumbuhannya yang agak singkat. Dalam masa lebih kurang sebulan, sayur ini sudah boleh dituai dan dinikmati. Antaranya, anda boleh mengolah hasil tanaman menjadi hidangan pak choy masak sos tiram yang cukup menyelerakan.

Lebih menarik, pokok pak choy yang sama sebenarnya boleh menghasilkan tuaian berulang kali. Dengan menggunakan teknik pemotongan yang betul, hasilnya boleh dinikmati sehingga enam pusingan tanpa perlu menanam semula setiap kali selesai menuai.

Jika berminat untuk mencuba, ikuti panduan penanaman yang dikongsikan oleh Don Laught ini. Perhatikan setiap peringkat pertumbuhan serta cara memotong daun supaya pokok dapat terus mengeluarkan hasil.

Cara Tanam Pak Choy Dari Biji Benih Hingga Boleh Dituai

1. Semai Biji Benih Dari Hari Pertama Hingga Hari Ke-22

Langkah awal ialah menyediakan biji benih pak choy untuk proses percambahan. Taburkan biji benih di atas permukaan tanah, kemudian tutup menggunakan lapisan tanah yang nipis.

Elakkan menimbus biji benih terlalu dalam kerana ia perlu melalui proses percambahan sebelum anak pokok mula tumbuh.

Untuk penyediaan medium semaian, saya menggunakan tanah campuran jenis 8 in 1.

Bahan yang diperlukan:

  • Biji benih pak choy.
  • Tanah campuran 8 in 1.

Gunakan biji benih dalam jumlah yang mencukupi kerana bukan semua anak pokok semestinya mempunyai pertumbuhan dan keadaan daun yang sesuai untuk dipindahkan nanti.

2. Pindahkan Anak Pokok Ke Dalam Pasu Pada Hari Ke-22

Apabila biji benih sudah bercambah dan anak pokok mula membesar, tibalah masanya untuk memindahkannya ke dalam pasu. Proses ini dilakukan sekitar hari ke-22.

Pilih anak pokok yang mempunyai daun elok dan kelihatan sihat sahaja untuk dipindahkan. Sebab itulah lebih baik menyemai biji benih dalam jumlah yang banyak supaya anda mempunyai lebih banyak pilihan ketika memilih anak pokok terbaik.

Waktu yang disarankan untuk melakukan pemindahan ialah pada sebelah petang, kira-kira pukul 6.00 petang. Ketika itu, keadaan cuaca biasanya sudah lebih redup dan tidak terlalu panas.

Selepas dipindahkan, letakkan pasu di kawasan yang terlindung daripada cahaya matahari terik buat sementara waktu. Anda juga boleh menggunakan jaring pelindung atau netting untuk melindungi anak pokok.

Langkah ini membantu anak pokok menyesuaikan diri selepas melalui proses pemindahan ke dalam pasu.

3. Dedahkan Pokok Kepada Cahaya Matahari Pada Hari Ke-24

Apabila memasuki hari ke-24, anak pokok pak choy boleh mula diletakkan di kawasan terbuka yang menerima cahaya matahari.

Sekiranya sebelum ini anda menggunakan netting, pelindung tersebut sudah boleh dibuka supaya pokok mendapat pendedahan cahaya matahari.

Satu perkara penting yang perlu diketahui, penggunaan tanah campuran 8 in 1 sebenarnya sudah membekalkan nutrien yang diperlukan oleh tanaman pada peringkat ini.

Oleh itu, selepas anak pokok dipindahkan ke dalam pasu, anda tidak perlu menambah baja lagi kerana kandungan nutrien dalam medium tanaman tersebut sudah mencukupi.

4. Pak Choy Boleh Dituai Pada Hari Ke-35 Hingga Ke-40

Selepas melalui proses pertumbuhan, pokok pak choy biasanya sudah boleh mula dituai apabila mencapai usia sekitar 35 hingga 40 hari.

Jika mahu mendapatkan hasil berulang daripada pokok yang sama, anda boleh menggunakan teknik yang dikenali sebagai cut-and-come-again.

Kaedah ini membolehkan pokok terus hidup dan menghasilkan daun baharu selepas sebahagian daunnya dipotong. Dengan penjagaan yang sesuai, pokok yang sama boleh terus memberikan hasil untuk tempoh tambahan sekitar 2 hingga 3 minggu.

Menariknya, teknik ini pernah saya gunakan sehingga mencapai enam pusingan tuaian daripada pokok yang sama.

Teknik Cut-and-Come-Again Supaya Pak Choy Boleh Dituai Berkali-kali

Rahsia utama untuk mendapatkan hasil tuaian berulang adalah dengan tidak memotong keseluruhan bahagian daun pokok pak choy.

Ketika melakukan penuaian, pastikan anda meninggalkan sekurang-kurangnya satu atau dua helai daun pada setiap pokok. Daun yang masih ada ini penting supaya pokok dapat meneruskan pertumbuhan dan mengeluarkan daun baharu.

Jika semua daun dipotong sehingga tiada yang tinggal, pokok tidak dapat menggunakan teknik tuaian berulang seperti yang dikongsikan ini.

Walau bagaimanapun, kaedah cut-and-come-again lebih sesuai digunakan pada pokok yang mempunyai pertumbuhan subur dan bentuk yang cantik.

Sekiranya terdapat pokok yang pertumbuhannya kurang memuaskan atau mempunyai baka yang kurang elok, lebih baik cabut pokok tersebut. Selepas itu, gantikan dengan anak pokok baharu daripada semaian seterusnya.

Sebagai makluman, walaupun teknik ini boleh menghasilkan sehingga enam pusingan tuaian, batang sayur biasanya akan mula memanjang apabila memasuki pusingan tuaian berikutnya.

Tip Mengatasi Pak Choy Yang Lambat Membesar

Jika mendapati pokok pak choy tidak menunjukkan pertumbuhan yang baik atau mengambil masa terlalu lama untuk membesar, anda boleh memeriksa keadaan tanah yang digunakan.

Antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan memindahkan pokok ke medium tanah lain atau menggantikan tanah yang digunakan dengan tanah yang tidak kering.

Selain itu, tanah juga boleh digemburkan untuk membantu memperbaiki keadaannya.

Namun begitu, kerja menggemburkan tanah perlu dilakukan dengan berhati-hati. Jangan terlalu kerap melakukannya dan pastikan peralatan yang digunakan tidak terkena atau mencederakan akar pokok.

Gemburkan tanah sekali-sekala sahaja apabila perlu supaya akar tanaman kekal dalam keadaan baik.

Kesimpulan

Menanam pak choy di rumah tidaklah sesukar yang disangka. Dengan mengikuti jadual penanaman yang betul, sayuran ini boleh dituai dalam tempoh sekitar 35 hingga 40 hari selepas disemai.

Antara perkara penting yang perlu diikuti ialah menggunakan tanah campuran 8 in 1, memindahkan anak pokok pada hari ke-22, memberikan pendedahan cahaya matahari mulai hari ke-24 dan melakukan tuaian apabila pokok mencapai usia yang sesuai.

Jika mahu mendapatkan hasil lebih banyak, amalkan teknik cut-and-come-again dengan meninggalkan satu atau dua helai daun setiap kali memotong. Melalui kaedah ini, pokok pak choy yang subur berpotensi memberikan hasil sehingga enam pusingan tuaian.

Semoga panduan dan tip tanam pak choy ini dapat membantu anda menghasilkan sayuran sendiri di rumah. Selamat mencuba!

Sumber: Don Laught

Continue Reading
Advertisement

Trending