Connect with us

Tips Dan Petua

Cara Betul Simpan Stok Bahan Dapur Agar Tahan Lama Tak Mudah Rosak

Published

on

Cara Betul Simpan Stok Bahan Dapur Agar Tahan Lama Tak Mudah Rosak

Biasanya lepas beli barang dapur, kita pun sumbatlah segala benda dalam peti sejuk. Kita ingatkan, semua bahan yang disimpan dalam peti sejuk boleh tahan lebih lama, bukan?
Sebenarnya, bukanlah semua bahan dapur boleh disimpan dengan cara yang sama. Malah, suhu sejuk itu mungkin tidak sesuai bagi sesetengah barang dapur kerana kelembapan yang akan merosakkannya.

Di sini kami kongsikan beberapa cara menyimpan bawang serta bahan dapur yang biasa digunakan agar dapat tahan lebih lama.

1. SANTAN / KELAPA PARUT

Trik menyimpan santan adalah dengan memasukkan sedikit garam kasar ke dalam santan dan kacau rata. Kemudian, simpan dalam peti sejuk seperti biasa. Boleh juga simpan santan dalam plastik bersih yang berikat dalam bahagian beku (freezer) tanpa garam.

Bagi kelapa parut pula, anda juga boleh menggunakan cara yang sama. Atau, ada cara yang lebih comel dan praktikal – gumpalkannya kepada bebola seperti dalam gambar. Boleh tambahkan sedikit air kalau terlalu kering. Lepas itu simpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam freezer.

Boleh tahan sampai 2-3 bulan! Senang sangat kalau nak gunakan dalam kuantiti sedikit, ambil saja beberapa ketul yang diperlukan.

2. CILI KISAR

Cara membuat cili kisar perlulah betul supaya ia boleh tahan lama.

Pertama, gunting dan basuh bersih-bersih. Kemudian, rebuskan hingga mendidih Lebih lama mendidih lebih bagus supaya cilinya masak dan tahan lama. Sama juga dengan cara menyimpan bawang kisar, seeloknya kisar cili yang ditambah dengan minyak dan bukan dengan air. Seeloknya, pastikan bijinya dibuang terlebih dahulu.

Cili kisar yang dibuat di rumah tak boleh disimpan di bahagian chiller macam cili giling atau cili boh yang kita beli di pasar raya. Sebabnya, cili yang dibuat sendiri tiada pengawet dan hanya boleh bertahan dalam tempoh 1 minggu sahaja. Maka, kalau nak tahan lebih lama, masukkan dalam bekas kedap udara dan disimpan di bahagian freezer.

3. BAWANG SEGAR & BAWANG KISAR

Cara menyimpan bawang yang betul adalah dengan meletakkannya di bahagian yang mempunyai pengaliran udara seperti dalam raga kecil. Ketika menyimpannya, anda juga harus menjauhkan bawang merah daripada sayuran lain supaya bawang tersebut tidak mudah busuk.

Untuk menjimatkan masa memasak, kini lebih ramai yang akan mengupas bawang secara pukal. Cara menyimpan bawang merah atau bawang putih yang dikupas pula perlu lebih cermat kerana ia lebih mudah rosak. Jangan basuh lepas dikupas kerana kelembapan boleh menyebabkannya lembik dan cepat rosak.

Ia perlu diletakkannya dalam bekas yang kedap udara agar tidak dicemari oleh bahan makanan lain dalam peti sejuk.

Cara menyimpan bawang kisar pula lebih kurang sama dengan bawang yang dikupas, cuma bezanya, anda boleh letakkan sedikit garam dalam bawang yang hendak dikisar. Kemudian simpan dalam peti sejuk atau freezer untuk tahan lebih lama.

4. TAUGE

Tauge mudah layu jika dibiarkan terlalu lama dan warnanya akan bertukar menjadi coklat dan lembik hanya dalam beberapa hari jika tidak disimpan dengan betul.

Untuk memperpanjangkan jangka hayatnya, anda boleh menyimpannya dalam sebuah bekas berisi air dan dicampur dengan jus lemon. Tauge ini akan tahan segar dan rangup sehingga sekurang-kurangnya seminggu. Kalau tak ada lemon, boleh gantikan dengan sedikit garam.

5. HALIA, LENGKUAS, KUNYIT

Bahan 3 serangkai ini lebih kurang sama rupanya. Dan cara penyimpanannya juga lebih kurang sama.

Bagi halia, lengkuas, atau kunyit yang belum dikupas, anda boleh simpan dalam bekas berisi air. Tapi, pastikan airnya ditukar setiap 3-4 hari. Jangan dibiarkan berlendir ya. Dengan cara ini, ketiga-tiga bahan tersebut akan kekal segar selama lebih 2 bulan walaupun tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Bagi halia, lengkuas, dan kunyit yang dah dikupas, simpankan dalam bekas kedap udara dan simpankan dalam freezer.

Oleh kerana kunyit yang paling biasa digunakan, anda juga boleh membuat garam kunyit. Caranya mudah, blender kunyit segar bersama sedikit cuka dan garam. Simpankan dalam freezer dan ia boleh tahan hingga lebih sebulan. Kalau nak memasak ikan goreng atau ayam goreng, lumurkan saja. Boleh cuka tambahkan bawang putih atau halia jika anda suka kombinasi tersebut.

6. KENTANG

Mencuci kentang sebelum menyimpannya boleh membuat kentang menjadi lembap dan mudah ditumbuhi bakteria hingga ia cepat rosak. Selain itu, mungkin ramai tak tahu bahawa kelembapan yang tinggi dalam peti sejuk boleh mempercepatkan pertumbuhan tunas.

Seperkara lagi, elakkan menyimpan kentang dengan bawang kerana jika disimpan berdekatan kerana gas yang dihasilkan oleh keduanya akan saling menjadikannya cepat rosak.

7. PISANG

Pisang adalah salah satu buah yang paling cepat masak dan busuk. Salah satu cara yang baik untuk menyimpannya adalah dengan cara menggantung kerana ada aliran udara.

Selain itu, boleh juga bungkuskan batang pisang dengan plastik. Cara ini akan mengehadkan kadar oksigen yang masuk dan memperlahankan proses kematangannya.

8. SAYURAN HIJAU

Sayur berdaun boleh tahan lebih lama jika balut dengan tisu sebelum disimpan dalam bekas kedap udara atau beg plastik ziplock. Apabila dalam peti sejuk, ia melindungi sayur daripada lecur atau layu.

Satu lagi cara adalah dengan merendam sayuran di dalam air garam selama 2-3 minit. Kemudian toskan airnya dan simpan dalam bekas kedap udara sebelum disimpan dalam peti sejuk.

Semoga dengan perkongsian beberapa petua ini, ia dapat menjimatkan masa anda daripada berulang-alik ke pasar. Dalam masa yang sama, boleh juga elakkan pembaziran dan memudahkan kegunaan harian.

Selamat mencuba!

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik, tauladan dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tips Dan Petua

Cara Tanam Pokok Secara Terbalik, Sesuai Untuk Rumah Kecil Dan Balkoni

Published

on

Cara Tanam Pokok Secara Terbalik, Sesuai Untuk Rumah Kecil Dan Balkoni

Bagi yang gemar berkebun tetapi mempunyai ruang terhad seperti rumah bertingkat, apartmen atau laman kecil, tidak semestinya perlu melupakan hobi bercucuk tanam. Terdapat pelbagai kaedah kreatif yang boleh digunakan, antaranya teknik tanaman terbalik atau upside down planting.

Kaedah ini membolehkan pokok ditanam secara tergantung dengan akar berada di bahagian atas dan batang tumbuh ke bawah. Selain menjimatkan ruang, tanaman terbalik juga lebih mudah dialihkan dan kurang terdedah kepada sesetengah serangan perosak yang datang dari tanah.

Antara tanaman yang sesuai menggunakan kaedah ini ialah tomato dan cili. Dengan hanya menggunakan botol plastik terpakai, anda boleh menghasilkan kebun mini yang unik di rumah.

Kelebihan Tanam Pokok Secara Terbalik

  • Menjimatkan ruang terutama untuk kediaman kecil.
  • Mudah dialihkan mengikut keperluan cahaya matahari.
  • Mengurangkan risiko serangan perosak tanah.
  • Menggunakan bahan terpakai seperti botol plastik.
  • Sesuai dijadikan projek berkebun ringkas di rumah.

Bahan Yang Diperlukan

Sebelum memulakan projek tanaman terbalik, sediakan bahan berikut:

  • Botol mineral bersaiz 1.5 liter.
  • Anak pokok tomato atau cili.
  • Kain perca atau kain jeans lama.
  • Stapler.
  • Tanah tanaman.
  • Cocopeat.
  • Tanah kompos.

Langkah Tanam Pokok Secara Terbalik

1. Sediakan botol tanaman

Ambil botol plastik 1.5 liter dan potong bahagian bawah botol. Kemudian tebuk dua lubang di bahagian kiri dan kanan botol untuk dijadikan tempat menggantung tanaman.

2. Sediakan kain penahan akar

Potong kain perca atau kain jeans mengikut saiz yang sesuai. Buat satu bukaan di bahagian tengah kain supaya batang anak pokok boleh dimasukkan.

3. Sediakan anak pokok

Keluarkan anak pokok daripada bekas asal dengan berhati-hati. Bersihkan sedikit tanah yang melekat pada bahagian akar supaya mudah dimasukkan ke dalam botol.

4. Masukkan batang pokok melalui kain

Letakkan batang anak pokok pada bahagian lubang kain yang telah dibuat. Kemudian kemaskan bahagian kain menggunakan stapler supaya ia memegang pokok dengan baik.

5. Masukkan pokok ke dalam botol

Masukkan anak pokok ke dalam botol dengan bahagian batang dan daun dikeluarkan melalui mulut botol.

Kain yang dipasang berfungsi untuk membantu menyerap air serta mengelakkan tanah daripada keluar apabila botol diterbalikkan.

6. Masukkan medium tanaman

Isi botol menggunakan campuran tanah, cocopeat dan tanah kompos dengan nisbah 4:4:2. Pastikan medium tidak terlalu padat supaya akar mendapat ruang untuk berkembang.

7. Siram dan gantung tanaman

Siram tanaman selepas selesai ditanam dan gantungkan di kawasan yang terlindung daripada panas terik selama kira-kira 9 hingga 10 hari.

Tempoh ini membantu anak pokok menyesuaikan diri dengan keadaan baharu sebelum diletakkan di lokasi yang menerima cahaya lebih banyak.

Penjagaan Selepas Tanaman Stabil

Selepas kira-kira 30 hari, berikan baja yang sesuai untuk membantu pertumbuhan pokok. Pastikan tanaman mendapat cahaya matahari yang mencukupi serta lakukan penyiraman mengikut keperluan.

Elakkan menyiram terlalu banyak kerana tanaman dalam bekas kecil mempunyai ruang terhad untuk menyimpan air.

Tip Supaya Tanaman Terbalik Tumbuh Subur

  • Gunakan anak pokok yang sihat dan tidak rosak.
  • Pastikan botol mempunyai sistem gantungan yang kukuh.
  • Gunakan medium tanaman yang ringan dan mempunyai saliran baik.
  • Letakkan tanaman di kawasan yang mendapat cahaya matahari secukupnya.
  • Berikan baja secara berkala selepas pokok mula stabil.

Kesimpulan

Tanaman terbalik merupakan satu kaedah kreatif yang sesuai untuk mereka yang mahu berkebun walaupun mempunyai ruang terhad. Dengan menggunakan bahan mudah seperti botol plastik terpakai, anda boleh menghasilkan tanaman tomato atau cili yang menarik dan praktikal.

Selain menjimatkan ruang, kaedah ini juga memberi pengalaman baharu dalam bercucuk tanam. Mulakan dengan satu atau dua pokok dahulu dan lihat sendiri hasilnya.

Selamat mencuba!

Continue Reading
Advertisement

Trending