Saya jual 45 sen je sebiji puteri atau seri ayu ni, tu pun ada yang mintak kurang. Guna santan fresh, jus pandan pun fresh. Seri ayu pandan lembut gebu ni memang renyah sikit nak buat, tapi berbaloi bila customer puas hati. Lemak manis sesedap rasa, harum semerbak bau pandan mengikat selera customer. Alhamdulillah, sentiasa ada permintaan. Sukatan cawan minum teh & gm.
Bahan-Bahan:
- 4 bj telur gred A atau B
- 300gm tepung naik sendiri atau anggaran 2 setengah cawan (2 dan 1/2 cawan)
- 1 cawan gula castor
- 1 sd mkn membukit ovalette
- 1/2 sd teh Emulco atau esen kelapa pandan
- 1 dan 1/4 cawan campuran santan Kara dan jus pandan pekat atau 250ml (200ml santan Kara + 50ml jus pandan pekat) kacau dan campurkan 1/2 penutup pewarna hijau epal serta setitis pewarna kuning telur.
Nota:
1. Hiris halus dan blend 6 helai daun pandan bersama sedikit air, tapis dan ambik 50ml jus pandan pekat atau 1/4 cawan.
2. Jika guna tepung gandum atau superfine tambah 1 sd teh Baking powder dan ayak bersama.
3. Boleh juga guna santan atau susu cair sepenuhnya. Jika tak ada daun pandan, letak ja Emulco atau Paste pandan ye. Tetap harum semerbak baunya.
4. Kelapa parut putih digaul sedikit garam dan 1 sd makan tepung ubi atau tepung jagung, untuk isi pada dasar acuan.
Cara Membuat:
1. Sebelum mula mengadun, panaskan kukusan terlebih dahulu. Isikan sedikit kelapa dan tekan bagi padat-padat dalam acuan puteri ayu yang telah disapu sikit minyak (yang ni selalu saya buat lepas adunan siap. Biar adunan rehat sekejap sementara siapkan kerja-kerja mengisi kelapa ke dasar acuan).
2. Mulakan mengadun dengan speed perlahan. Pukul telur dahulu hingga berbuih, masukkan emulco, ovalette dan gula sedikit demi sedikit sambil mix sebati. Bila ovalette dah tak kelihatan, terus naikkan ke speed paling tinggi.
3. Putar lebih kurang 10-15 minit dengan kelajuan tinggi sampai adunan naik sehabis tinggi, adunan kelihatan bertanduk bila diangkat pengadun, gebu berkrim. Slowkan mixer ke speed 2 dan masukkan pewarna.
4. Terus masukkan santan tadi sedikit demi sedikit berselang seli dengan tepung secara bertahap. Dimulai dengan santan akhirkan juga dengan santan. Sambil-sambil tu kacau dan sisip adunan yang melekat pada tepi-tepi mangkuk.
5. Matikan mixer, kacau perlahan adunan hingga sebati. Nak puteri ayu lagi lembut gebu, rehatkan adunan lebih kurang 30 minit hingga 1 jam sebelum kukus. Panaskan atau kukus acuan berisi kelapa sekejap, kemudian baru isi adunan separas acuan.
6. Kukus selama 7-10 minit ikut saiz acuan, api sederhana. Kukus kelapa terlebih dahulu agar kuih tahan lama dan kelapa tidak mudah masam. Dua hari kat luar tanpa simpan dalam peti ais pun puteri ayu/seri ayu masih ok.
7. Cukup masa mengukus, keluarkan acuan puteri ayu dari pengukus, biar suam sedikit kemudian picit-picit tepi sekeliling acuan supaya puteri ayu lekang dan mudah ditanggalkan. Bolehlah keluarkan puteri ayu dan hidangkan. Selamat mencuba semua.
Tips Penting:
1. Pastikan ovalette masih baik iaitu berwarna kuning gold berkilat-kilat. Kalau warna nampak kusam dan pudar nanti kuih tak naik gebu. Perkakas yang akan digunakan juga pastikan kering.
2. Saya suka blend daun pandan dengan kelapa dan perah ambik patinya 250ml. Lagi lemak dan harum semerbak Kuih Seriayu.
3. Telur juga masih dalam keadaan baik atau segar iaitu kuning telur tidak cair atau tak pecah berair.
In shaa Allah. Ikut semua tips yang saya berikan tu, pasti menjadi Seriayu atau Puteri Ayu yang lembut gebu.
Sumber: Zurina Kifli